|
|
SUDAH
sebulan Imran menghilangkan diri. Bermakna sudah sebulan jugalah Dina
merasai rindu yang teramat sangat pada kekasihnya yang hilang tanpa berita.
Dalam tempoh tersebut jugalah seleranya untuk makan dan minum hilang,
malah dirinya sendiripun sudah tidak terurus. Azma yang merupakan teman
serumahnya begitu risau dengan perubahan mendadak yang dialami oleh
sahabat karibnya itu. "Kenapa dengan kau ni Dina? Aku risau tau tengok kau macam ni? Makan tidak, minum tidak, apa nak jadi dengan kau ni? Semalam Zul telefon, dia cakap bila kau nak mula latihan pementasan teater kau tu? Semua orang dah bising, sebab Pekan Teater tu tak sampai sebulan dari sekarang ni tau. Dia suruh kau telefon dia balik." Dina hanya membatukan dirinya. Begitulah keadaannya selama sebulan yang lalu. Dina bagaikan orang terbiar dan sering bercakap sendirian. Dia juga kerap mengurung dirinya di dalam bilik. Dia sudah tidak menghiraukan dunia luar, yang ada hanyalah dia dan dunianya sahaja. Sehinggalah pada suatu hari, Dina tercium bau yang amat dikenali. Minyak wangi kegemaran Imran. Bau itu terus mencucuk-cucuk hidungnya. Dina tersentak dari lamunan. "Imran! Akhirnya kau datang juga ". Dia berlari-lari anak menuju ke muka pintu. Tombol pintu dipulas perlahan. Kelihatan sesusuk tubuh tegap berdiri di hadapannya. Dalam kesamaran malam, Dina amat mengenali susuk tubuh itu. Insan yang amat dirinduinya sejak sebulan yang lalu. Wajah Imran agak cengkung dan mukanya pucat. Namun Imran masih sempat menghadiahkan sekuntum senyuman pada Dina. "Imran, kenapa Im tinggalkan Dina macam ni saja. Tahu tak yang Dina rindu sangat pada Im?". "Maafkan Im, Dina. Bukan maksud Im nak tinggalkan Dina, tapi...". " Sudahlah tu Im, marilah masuk. Tak sudi dah ke nak rasa air yang Dina buat?" Dina menarik tangan Imran masuk ke dalam. Dia dapat merasakan yang tangan Imran begitu sejuk sekali. "Kenapa sejuk semacam saja ni Im? Im tak sihat ke?" Tanyanya kehairanan. "Tak adalah Dina, kena angin malam saja ni. Mana Azma? Sunyi saja rumah ni?" "Azma selalu balik lewat, tinggallah Dina sorang-sorang kat rumah ni. Im tunggu kejap ye, Dina nak buatkan air". "Tak payah susah-susahlah sayang, lagipun Im tak boleh lama-lama kat sini. Im ada hal penting nak cakap kat Dina". "Apa dia?" "Im nak minta maaf sekiranya selama ni Im ada buat salah pada Dina, halalkan segala yang termakan, terminum. Kalau Im pergi dulu sebelum Dina…." Belum habis Imran meluahkan kata-katanya, Dina menyampuk. "Apa yang Im merepek ni? Apa maksud Im sebenarnya?" gesa Dina inginkan kepastian. "Emm… dah pukul 3 pagi ni Dina, Im minta diri dulu. Nanti apa pula kata jiran-jiran." "Im.. kita sarapan bersama nanti, lepas tu Im temankan Dina pergi Panggung Sasaran, sebab Pekan Teater dah tak lama lagi. Nanti takut pula Zul 'reject' Dina". "Tak bolehlah Dina, Im ada urusan nanti". "Malam nilah Im jemput Dina kat sana ye?". "Insya-Allah." Satu kucupan mesra singgah di dahi Dina sebelum Imran melangkah pergi di dalam kepekatan malam. Kucupan itu terasa sejuk sekali. Dina hanya tersenyum meleret-leret di muka pintu. Bahagia sungguh dia rasakan. Keesokkan harinya, dia memulakan hidupnya seperti biasa, penuh keceriaan dan kegembiraan. Azma yang baru sahaja bangkit dari tidur, terkejut dengan perubahan yang mendadak pada diri Dina. "Kenapa kau pandang aku macam tu? ". "Betul ke apa yang aku nampak ni? Kau dah sihat ke Dina?". "Ei ni akulah, bukan hantu. Kau tau malam tadi Im datang. Aku dah kata walau macam manapun dia tak akan tinggalkan aku." Azma hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. "Apa alasan Imran kali ni?" "Kau tak perlu dan tak payah nak ambil tahu. Apa yang kau mesti tau aku dah okey sekarang. Kau makanlah mee goreng tu, aku nak pergi Panggung Sasaran ni. Nanti tak pasal-pasal aku kena 'reject' untuk pegang watak utama tu." "Kau tulah, hujan tak ada, angin tak ada, perangai pelik semacam." "Eh.. Malam ni aku balik lewat sikit, aku nak keluar dengan Imran kejap." "Jangan balik lewat sangat Dina, kau tu baru saja sihat." Jam sudah menunjukkan ke angka 10 malam, namun Imran yang telah dinanti sejak tadi, tidak juga kunjung tiba. Panggung Sasaran pun sudah lenggang, yang tinggal hanyalah dirinya seorang. "Maaf, lama ke menunggu?" Sapa satu suara lelaki. "Im, kenapa lambat? Mana motosikal Im?" "Sorrylah Dina, motor Im rosak tu yang lewat sampai." Imran menghulurkan jambangan mawar merah kepada Dina. "Im harap Dina suka dan Im nak Dina ingat sampai bila-bila perhubungan kita walau pada masa tu Im dah tak wujud lagi di dunia ni." "Terima kasih Im, bukan ke Im tahu yang Dina tak boleh hidup tanpa Im. Im janji tak akan tinggalkan Dina lagi ye?" Imran hanya membisu. Malam itu Dina pulang ke rumah dengan seribu persoalan. Kata-kata Imran bagaikan menyimpan maksud yang mendalam. "Baru balik?" "Azma! kau ni, buat terperanjat aku sajalah. Apa yang kau buat duduk dalam gelap ni?" "Tak ada apa-apalah, kau pergilah mandi dulu." Telefon berdering. Azma cepat-cepat mengangkat ganggang. Dia memandang ke arah Dina dengan penuh makna. "Siapa telefon? Imran ke?". "Aku tak tau macam mana nak cakap kat kau, tapi aku harap kau banyak-banyaklah bersabar." "Kenapa dengan kau ni Azma? Cubalah cakap terus terang pada aku." "Dina, sebenarnya dah empat kali polis daerah Jelutong tu call. Dia suruh kau datang ke sana untuk pengesahan.." "Pengesahan apa ni Azma? Kau ni kalutlah." "Pengesahan mayat Imran. Polis tak dapat nak kenal pasti sebab, mayatnya dah reput." Dina bagaikan orang disambar petir. Antara percaya dengan tidak. Seluruh tubuhnya lemah. Kakinya bagaikan sudah tidak jejak di bumi. Dengan langkah longlai Dina memasuki rumahnya. Azma setia menanti di sofa. Dia tidak sampai hati hendak bertanya itu dan ini kepada Dina. Cukuplah dia mengetahui segala-galanya melalui berita perdana malam tadi. Mayat Imran ditemui dalam keadaan yang sudah reput di bawah jambatan kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sudah hampir sebulan mayatnya tersadai tanpa pengetahuan sesiapa kerana tempat tersebut sunyi dan jauh terpencil dari orang ramai. Tapi yang menjadi persoalannya sekarang, siapakah lelaki yang dikatakan Dina sebagai Imran? Dina sendiri masih mencari jawapannya. Apa yang pasti, dia terpaksa merelakan pemergian Imran kerana dengan cara tersebut sahajalah Imran tenang di pusaranya. Biarlah pengalaman bersama Imran tempoh hari menjadi rahsia peribadinya. Dia pasrah. |
|
|
|
|
|
![]() |
|
![]() |
![]() |
|Home| |