Di zaman hayatnya, Pak Samad memang terkenal dengan sikapnya yang garang dan bengis itu membuatkan semua orang takutkannya. Apatah lagi ia merupakan guru silat di kampung. Siap yang berani cuba mencampuri urusan hidupnya. Selain itu, Pak Samad juga terkenal dengan kebolehannya memikat perempuan. Bahkan keempat empat orang isterinya semuanya muda-muda dan bergelar dara ketika dikahwininya. Jika kuota dah penuh, sanggup diceraikan salah seorang isterinya bagi membolehkannya berkahwin baru kecuali isterinya yang paling tua. Yang terbaru, Pak Samad baru saja mengahwini gadis berusia 19 tahun yang menjadi rebutan anak muda di kampung. "Ah! Ini Samad. Tak akan ada seorang perempuan pun yang akan menolak kehendakku." Itulah kata katanya yang penuh dengan nada riak suatu ketika dulu bila ditanya oleh seorang penduduk kampung. Namun begitu, semua orang tahu, Pak Samad ada 'pemakai' dan menuntut ilmu tertentu. Jika tidak, takkanlah dia sehebat itu. Nak dikatakan kacak sangat, taklah juga. Cuma badannya masih tegap dan sasa biarpun sudah menghampiri angka 57 tahun! Wajahnya juga berseri-seri saja.

Walaupun begitu, Pak Samad tidaklah dibenci oleh penduduk kampung memandangkan dia jenis yang ringan tulang. Tiap permintaan orang pasti akan cuba dipenuhi. Begitu juga jika ada kenduri kendara, dialah antara orang pertama yang paling rajin membantu itu dan ini. Cuma satu syaratnya, dia tak akan makan di rumah pengantin! Sebagai bapa, Pak Samad juga tidak melupakan tanggungjawabnya. Anaknya yang seramai 9 orang diberikan sepenuh pendidikan bahkan tiga daripada lulusan universiti. Begitu juga dengan didikan agama. Walaupun mungkin dia jahil tapi dia tak ingin anak-anaknya menurut jejak langkahnya. Malah teruk seorang anaknya dimarahi bila secara bergurau meminta 'ilmu pengasih' daripadanya.

Sudah menjadi adat dunia, tiap manusia akan tua dan mati. Begitu juga dengan Pak Samad. Entah mengapa, tiba tiba saja Pak Samad mengalami sakit tua. Hampir lapan bulan Pak Samad terbaring di rumah hinggakan tubuhnya tinggal rangka saja. Ramai bomoh yang cuba mengubatinya tapi tak berjaya. Hinggalah suatu hari anaknya yang sulung, telah membawa seorang ustaz pulang ke rumah untuk melihat keadaan Pak Samad. Ustaz itu tidak melakukan apa-apa. Cuma dia membisikkan sesuatu di telinga Pak Samad dan mereka seolah berbincang. Suatu ketika kelihatan Pak Samad seolah marah tapi akhirnya bersedih pula. "Usah risau. Selepas ini, redha saja apa yang terjadi..." Ulas ustaz itu pendek sebelum kembali ke rumahnya.

Malam itu sakit Pak Samad menjadi semakin teruk hingga akhirnya dia meninggal dunia. Sempat dia berpesan agar jangan dibuka mukanya nanti. Jenazah Pak Samad selamat dikebumikan pada keesokan harinya.

Beberapa hari kemudian heboh di kampung itu kehadiran pocong Pak Samad. Ramai yang telah terserempak. Yang lebih menakutkan, rohnya yang berupa pocong itu telah datang mengetuk pintu tiap rumah agar dibukakan kain ikatan di kepalanya! Siapa yang tak seram! Rupanya Pak Samad masih belum 'melepaskan' ilmu yang dimilikinya selama ini kerana enggan turunkan kepada anak-anaknya. Atas pertolongan seorang alim yang arif pula dalam ilmu mistik, masalah itu dapat diatasi namun salah seorang anak lelaki Pak Samad terpaksa warisi ilmu itu!

|Home|